Sunday, December 6, 2009

enam belas

pada suatu hari,
ada seekor babi jantan.

kelihatan dia sedang mengherdik anaknya. dengan bunyi yang jijik lewat hidung terperonyoknya, babi itu memaki2 sang anak yang agak diam memasang telinga.

"khok khok khokkk" itu.
"khok khok khokkkkkkk" ini.

andai karektor babi2 itu dialihbahasakan, berkemungkinan besar babi jantan yang besar dan tua itu akan memperdengarkan marah tipikal seorang bapa kepada anaknya. itu tidak betul. ini tidak betul.

bapa babi itu tidaklah begitu amanah pada rupanya. namun, atas fakta dia adalah punca kelahiran si anak babi, pada hakikatnya, babi jantan itu punya mandat untuk memperkasa kuasa pemilikan pada anaknya.

"kau jijik, wahai anak babi"
"mengapa kau begitu hodoh, wahai busuk?"
"kau sangat memalukan, wahai bangsat"
"berhenti makan lumpur, wahai si hidung ronyok!!"

anak babi yang dari tadi berdiam membuka mulutnya.
"tapi mengapa, wahai ayahanda..?"

babi jantan tadi seolah sudah jadi singa. tidak pernah seumur hidupnya dilawan2 kata. tidak pernah seluruh usianya dipangkah cerita. dia jadi marah.

berani anak babi ini membidas beta!

maka dibantaipukul dihenyakcantas anak babi itu. terpinga dan terpana, dia. sehingga lembik tak mampu berkata.

babi jantan itu berlalu pergi. tidak kembali2.
dia benci.
dia lari.
dia pergi.

dan pada sepuluh tahun yang mendatang, ketika dia sedang bergelut sama maut, dia buka mulutnya dan bertanya ke arah langit.

"mengapa aku diberi anak babi?"

kasihan.

mungkin tidak dia tahu,
mungkin tidak diperasankan;

dia sebenarnya seekor babi.
maka mana mungkin lahir anaknya sebagai merpati.

Saturday, July 11, 2009

lima belas

pada suatu hari,
seekor semut terpisah dari barisannya.

dia tidak menangis. apalagi meraung sadis. semut itu cuma diam.
dia sebenarnya gembira.

tidak ada lagi perlunya dia menghamba pada perintah.
tidak ada lagi perlunya dia menggetar di setiap titah.

lalu berhari2 dia menjadi sultan pada diri sendiri. makan tidur jalan dan henti, jerit diam lompat dan nyanyi. malangnya, sukanya cuma dua dan tiga hari. apalah makna emas segunung, bila tak ada teman menghurung.

dia penat, dan sebagaimana siapa2 yang penat, semut itu mahu pulang.

si semut cari dalam akalnya apa2 yang mungkin mampu membantunya di detik2 itu. dia masih belum terdesak. dia tidak gelabah. makanya, dia berjaya mengawal tenang dengan imbang.

dia angkat dagunya sedikit ke atas. dia gunakan tombol pintu yang jauh lebih gergasi dari busutnya itu sebagai batu tanda kembaranya. semut itu ingat akan dulunya yang dia lalu di situ bersama ahli barisan teman2 askarnya. tapi semut itu juga terdetak dalam hati kalau2 mungkin memori itu cuma deja vu.

ah, kesamaran memang sial, kata semut.
tapi dia tegap dengan putusnya.

ke arah itu, dan rumah aku ada di sebaliknya.
ke situ.

dia orak langkah. dia buka dengan megah. dia hendak pulang.
dia akan pulang.

semut itu sedang menghayun kaki pertamanya ketika ditenyeh sehingga pipih setiap inci tubuhnya dengan ibu jari gergasi yang tiba dari entah mana.

tidak apalah,
yang penting matinya dengan senyum gagah.

Wednesday, May 6, 2009

empat belas

pada suatu hari,
ada seorang gadis yang bergantung hidupnya pada angin.

setiap kali angin menghembus wajahnya, dia risau.
dia selalu rasa tertinggal.
dia selalu rasa terabai.

dia gelabah.

sebagai contoh, ketika angin dari tenggara membisik khabar ada anak nelayan berkayuh ke china untuk mendalami ilmu tabib, dia tidak menang duduk.
dia perlu ke china juga.

satu lagi contoh, ketika angin dari barat daya menghembus khabar ada puteri kayangan berayun ke timur tengah untuk mempelajari ilmu bintang, dia dia tidak mampu tunduk.
dia perlu ke timur tengah juga.

ada lain contoh, ketika angin dari timur selatan mengucap khabar ada orang kembara bertempur pasir ke temasik untuk mengenali cerita2 bunian, dia tidak boleh sekadar angguk.
dia perlu ke temasik juga.

begitu dia sekian lama.
sekian lama.

maka akhirnya dia tidak punya rumah sendiri.
entah di mana kuburnya nanti.

mungkin di awan.
mungkin di kayangan.
mungkin di lautan.
mungkin di daratan.

itulah dia.
kalau hidup atas angin.

Thursday, February 12, 2009

tiga belas

pada suatu hari,
seorang gadis dengan pisau di atas nadi tangan sebelah kanannya sedang menunggu masa yang sesuai untuk menarik bilah besi tajam itu laju2 dengan niat untuk mati.

airmatanya sudah seolah air renyai hujan senja yang biasanya dikatakan nenek2 kita ada syaitan, kalau diperhatikan elok2.

gadis itu sudah lama teresak2 di dalam ruang mandi rumahnya.
waktu sedemikian, yang ketika dia sedang hampir2 hendak membunuh nyawanya itu, pada kebiasaannya akan menyambut pulang sahabat rumah dia yang pulang dari mencari rezeki.

mata gadis itu sudah bengkil, tapi dia masih belum hendak sanggup.

dia mengambil masa dalam sepenanak nasi juga untuk beralih ke luar di ruang tamu. masih dengan pisau di jarinya, situasinya masih sama seperti tadi. yang beda, adalah ruang kejadian. dan seperti awalnya, masih lagi kawannya belum pulang.

gadis itu menunggu dalam sepertujuh hari lagi, kemudian dia pindah ke depan pintu masuk. dia tertidur dengan pisaunya.

di hampir pagi, dia tersentak. kawannya masih belum pulang.
dia bingkas.
betul2kan kedudukan nyenyaknya, namun masih memeluk besi itu.
"semoga ada yang nampak pisau ini, sekali sama bengkak merah mata aku."

dia bukan mahu mati.
sekadar mahu mata2 simpati.

pengecut.

Sunday, January 25, 2009

dua belas

pada suatu hari,
seorang rakyat dilantik menjadi raja.

dia disogokkan kerusi di singgahsana yang gah, dek janjinya pada rakyat yang memberi sokong.
dia kata di satu masa itu:
"beta akan bawa perubahan".

dan dengan mimpi itu, dia bangkit hendak maju.

namun sejak dipaku dia di atas sana, kerajaan masih belum ada beda.
yang miskin tetap miskin.
yang kaya tetap kaya.
yang bodoh tetap bodoh.
yang bijaksana tetap bijaksana.

raja yang dulunya rakyat biasa itu termenung sugul.
bagaimana hendak membawa ubahan dalam negeri beta?

dia mula sedikit2 mencari jalan.
dia jumpa akar umbi permasalahan jelata.

diambil masa yang sama untuk memikir dulu demi mendapatkan jawabnya.
dia masih tidak mampu berbuat apa2.
anak2 rakyatnya masih sama.

dan di satu hari itu juga,
selepas beberapa tahun tidur jaga,
dia tegak di depan semua.

berkata:
"hey sekalian milik beta.
tidak ada perubahan yang beta mampukan.
maafkan saya"

hilang terus semenjak itu, susuk baginda.

hai...
kalaulah dia sudi untuk sabar.
rom tidak dibina sekelip mata.

Friday, January 9, 2009

sebelas

pada suatu hari,
seorang direktor filem hendak mengarah sebuah cerita hebat.

dia sudah bosan membikin seni yang tipikal. dia sudah benci mencerita sesuatu yang fizikal. dia hendak menjadi sesuatu yang unik. sesuatu yang pelik.

mungkin mendapat kreditasi atas sesuatu yang lebih artistik.

lalu dia fikirkan apakah sentimen terbaik untuk diketengahkan. hendak ditangkap kisah perang, sesungguhnya wang tidak ada pada tangannya. hendak dikumpul cerita cinta, sesungguhnya sudah tidak ada apa yang belum ditontonnya.

dan di hari itu, direktor itu tersentak.
dia akan membikin suatu yang agung.

tentang ketuhanan.
tentang cinta abadi.
tentang keinsafan.
tentang muhasabah diri.

berbulan2 dia cipta olah jalan ceritanya.
akhirnya selesai, dan dipertonton pada serata jelata.

filem pendek berkisar tentang manusia yang sehina2 menjadi insan yang seinsaf2nya.
nan ditonton setiapnya, terus mengundang airmata malu pada tuhan dek merasa nista.

bagus sekali.
terlalu bagus, kerana lakonan karektor yang sedang berpuisi tentang kerdilnya isi hatinya pada tuhan, ketika dia menunjuk segan atas dosanya di masa2 yang tertinggal itu, begitu hidup dan berkesan.

sama hidup dan berkesannya lakonan watak itu ketika berkucup dengan wanita berdada besar tersembul di celah perca kainnya di awal plot ceritanya tadi untuk menunjukkan kejahanaman sifat karektor asalnya.

begitu hidup dan berkesan, sehingga ketika tamatnya tayangan, semua penonton berdiri dan bertepuk tangan.

bahalol.

Thursday, January 1, 2009

sepuluh

pada suatu hari,
seorang yang lalai dalam duniawi terjatuh ke dalam gaung hitam pekat.

dia memasang niat di dalam dada:
"andai dapat aku keluar dari sini, akan aku hidup semata mencari kebenaran sejati"

dan keajaiban berlaku kebetulan pada dirinya, dia berjaya bertahan nyawa dan diselamatkan.

sejak dari itu, setiap hari dia mencari2 sesuatu makna untuk hidupnya. dia hendak mengotakan janji pada keazamannya. dia mahu sesuatu yang memberi tanda benar di hadapan matanya.

lalu muncul seorang manusia di hujung pandang matanya. manusia itu sedang melintas lalu, maka diikutkan sang seorang itu, diekor sehingga ke sebuah pondok terpencil. dilihatkan manusia itu terus sujud dan menyembah tuhan. berlama2, sehingga sayu hati sang seorang itu untuk terus menurut si manusia.

berhari2, sekian lama.

berbulan2 telah pergi. dia sudah pun merubah dari sang seorang yang mengabai, menjadi seorang yang begitu peduli. dan dia jadi sangat suka sama dirinya yang baru.

dia pulang ke kampung halaman.
kembali dengan rasa syukur atas perubahannya.
balik ke pangkal dengan gembira dapat menjadi sesuatu yang dahulu bukan dia.

nan ditanya, sang seorang itu cuma senyum dan berkata: "syukur, aku sudah temukan diri aku", atau "terima kasih pada tuhan, kerana sudi memberi semula hak aku sebagai hambanya", atau "semua ini di atas tangannya".

dia dilihat sebagai seorang yang baru.

sekian lama, tiba2 dia terpandang manusia yang dahulu ditemukan di celah gelap rimba. seorang guru yang dikawankan tanpa sepatah pun bicara. seorang teman yang diturutkan semata kerana kebaikannya.

"salam atas engkau"
"ya"
"sebenarnya engkau siapa?"

manusia itu senyum.

"aku syaitan"