Sunday, January 25, 2009

dua belas

pada suatu hari,
seorang rakyat dilantik menjadi raja.

dia disogokkan kerusi di singgahsana yang gah, dek janjinya pada rakyat yang memberi sokong.
dia kata di satu masa itu:
"beta akan bawa perubahan".

dan dengan mimpi itu, dia bangkit hendak maju.

namun sejak dipaku dia di atas sana, kerajaan masih belum ada beda.
yang miskin tetap miskin.
yang kaya tetap kaya.
yang bodoh tetap bodoh.
yang bijaksana tetap bijaksana.

raja yang dulunya rakyat biasa itu termenung sugul.
bagaimana hendak membawa ubahan dalam negeri beta?

dia mula sedikit2 mencari jalan.
dia jumpa akar umbi permasalahan jelata.

diambil masa yang sama untuk memikir dulu demi mendapatkan jawabnya.
dia masih tidak mampu berbuat apa2.
anak2 rakyatnya masih sama.

dan di satu hari itu juga,
selepas beberapa tahun tidur jaga,
dia tegak di depan semua.

berkata:
"hey sekalian milik beta.
tidak ada perubahan yang beta mampukan.
maafkan saya"

hilang terus semenjak itu, susuk baginda.

hai...
kalaulah dia sudi untuk sabar.
rom tidak dibina sekelip mata.

Friday, January 9, 2009

sebelas

pada suatu hari,
seorang direktor filem hendak mengarah sebuah cerita hebat.

dia sudah bosan membikin seni yang tipikal. dia sudah benci mencerita sesuatu yang fizikal. dia hendak menjadi sesuatu yang unik. sesuatu yang pelik.

mungkin mendapat kreditasi atas sesuatu yang lebih artistik.

lalu dia fikirkan apakah sentimen terbaik untuk diketengahkan. hendak ditangkap kisah perang, sesungguhnya wang tidak ada pada tangannya. hendak dikumpul cerita cinta, sesungguhnya sudah tidak ada apa yang belum ditontonnya.

dan di hari itu, direktor itu tersentak.
dia akan membikin suatu yang agung.

tentang ketuhanan.
tentang cinta abadi.
tentang keinsafan.
tentang muhasabah diri.

berbulan2 dia cipta olah jalan ceritanya.
akhirnya selesai, dan dipertonton pada serata jelata.

filem pendek berkisar tentang manusia yang sehina2 menjadi insan yang seinsaf2nya.
nan ditonton setiapnya, terus mengundang airmata malu pada tuhan dek merasa nista.

bagus sekali.
terlalu bagus, kerana lakonan karektor yang sedang berpuisi tentang kerdilnya isi hatinya pada tuhan, ketika dia menunjuk segan atas dosanya di masa2 yang tertinggal itu, begitu hidup dan berkesan.

sama hidup dan berkesannya lakonan watak itu ketika berkucup dengan wanita berdada besar tersembul di celah perca kainnya di awal plot ceritanya tadi untuk menunjukkan kejahanaman sifat karektor asalnya.

begitu hidup dan berkesan, sehingga ketika tamatnya tayangan, semua penonton berdiri dan bertepuk tangan.

bahalol.

Thursday, January 1, 2009

sepuluh

pada suatu hari,
seorang yang lalai dalam duniawi terjatuh ke dalam gaung hitam pekat.

dia memasang niat di dalam dada:
"andai dapat aku keluar dari sini, akan aku hidup semata mencari kebenaran sejati"

dan keajaiban berlaku kebetulan pada dirinya, dia berjaya bertahan nyawa dan diselamatkan.

sejak dari itu, setiap hari dia mencari2 sesuatu makna untuk hidupnya. dia hendak mengotakan janji pada keazamannya. dia mahu sesuatu yang memberi tanda benar di hadapan matanya.

lalu muncul seorang manusia di hujung pandang matanya. manusia itu sedang melintas lalu, maka diikutkan sang seorang itu, diekor sehingga ke sebuah pondok terpencil. dilihatkan manusia itu terus sujud dan menyembah tuhan. berlama2, sehingga sayu hati sang seorang itu untuk terus menurut si manusia.

berhari2, sekian lama.

berbulan2 telah pergi. dia sudah pun merubah dari sang seorang yang mengabai, menjadi seorang yang begitu peduli. dan dia jadi sangat suka sama dirinya yang baru.

dia pulang ke kampung halaman.
kembali dengan rasa syukur atas perubahannya.
balik ke pangkal dengan gembira dapat menjadi sesuatu yang dahulu bukan dia.

nan ditanya, sang seorang itu cuma senyum dan berkata: "syukur, aku sudah temukan diri aku", atau "terima kasih pada tuhan, kerana sudi memberi semula hak aku sebagai hambanya", atau "semua ini di atas tangannya".

dia dilihat sebagai seorang yang baru.

sekian lama, tiba2 dia terpandang manusia yang dahulu ditemukan di celah gelap rimba. seorang guru yang dikawankan tanpa sepatah pun bicara. seorang teman yang diturutkan semata kerana kebaikannya.

"salam atas engkau"
"ya"
"sebenarnya engkau siapa?"

manusia itu senyum.

"aku syaitan"